PSLEM telah bersiaran dalam rancangan popular TV

Usaha Persatuan SLE Malaysia (PSLEM) dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keadaan pesakit SLE telah menerima suntikan yang amat diperlukan. “Wanita Hari Ini”, sebuah rancangan mengenai wanita masa kini, yang popular di TV3, telah memberikan kami waktu siaran yang amat berharga dengan mengadakan satu perbincangan mengenai keadaan pesakit SLE, secara langsung di dalam programnya pada 10 Jun 2008.

Dr. Asmahan Mohamed Ismail, seorang pakar rheumatologi di Hospital Selayang, dan Cik Sarah Kambali, seorang pesakit SLE serta ahli PSLEM, telah muncul dalam segmen ini.

Walaupun rancangan ini merupakan siaran langsung, Dr. Asmahan dan Sarah sangat tenang dan petah membincangkan keadaan yang mereka lalui – Dr. Asmahan daripada sudutnya sebagai seorang doktor dan Sarah daripada sudut peribadinya sebagai seorang pesakit SLE.

Dr. Asmahan telah memberikan gambaran keseluruhan penyakit SLE, termasuk sebab, simptom dan rawatannya. Dalam menjawab pertanyaan samada seorang pesakit wanita SLE boleh melahirkan anak – suatu isu yang amat rapat dengan semua wanita – beliau berkata pesakit mestilah berbincang dengan doktor mereka terlebih dahulu. Keadaan pesakit mestilah stabil sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun sebelum cuba untuk mengandung, dan jika ubat predinisolone, hydroxchloroquine atau azathioprine diambil oleh pesakit tersebut, dos ubat-ubatan itu mesti sudah dikurangkan semasa mengandung.

Dari sudut pesakit pula, Sarah telah menceritakan apa yang beliau alami sebelum disahkan menghidap SLE, pencarian beliau mengenai SLE melalui Internet dan berkongsi maklumat yang diperolehi bersama doktor beliau, serta keuntungan menjadi seorang ahli PSLEM.

Dr. Asmahan juga telah menjawab soalan-soalan daripada orang ramai yang telah menelefon semasa rancangan itu membuka talian kepada orang ramai.

Nombor telefon PSLEM serta laman web telah tertera di skrin televisyen pada penghujung perbincangan tersebut. Ini telah menyebabkan pejabat PSLEM dihujani panggilan telefon yang mengutarakan soalan-soalan mengenai SLE, setelah rancangan itu tamat dan juga sepanjang hari berkenaan.

Laman web PSLEM yang baru diperbaharui juga menunjukkan peningkatan pelawat dari pukul 12:30 tengahari dan seterusnya apabila URL laman web kami telah tertera di skrin televisyen.

Ucapan terima kasih kepada Dr. Asmahan dan Sarah yang telah muncul bagi pihak PSLEM dalam rancangan tersebut, dan juga kepada “Wanita Hari Ini” yang telah memberikan kami peluang yang amat berharga untuk berbincang mengenai keadaan SLE.