Pertandingan fotografi bagi merayakan Hari Lupus Sedunia tahun ini

Perayaan Hari Lupus Sedunia tahun 2008 akan diraikan secara visual, hasil kerjasama ahli-ahli Shutter Asia yang akan mengadakan pertandingan fotografi dan semua yuran penyertaan akan didermakan kepada Persatuan SLE Malaysia (PSLEM).

 
Hari Lupus Sedunia 2008

Sama-samalah kita ke Pusat Membeli-belah 1 Utama pada hari Sabtu 10 Mei 2008 bagi meraikan Hari Lupus Sedunia, sambil bergembira menyaksikan pameran hasil kerja peserta pertandingan fotografi Apa-apa Rama-rama. Pertandingan ini adalah anjuran Shutter Asia dan semua yuran penyertaan akan didermakan kepada Persatuan SLE Malaysia (PSLEM). Selain itu, anda juga berpeluang mengikuti ceramah oleh beberapa orang pakar perubatan yang dihormati.

Pelancaran rasmi Hari Lupus Sedunia 2008 oleh YB Dato’ Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia, termasuklah acara pemotongan kek serta bacaan pengisytiharan Hari Lupus Sedunia.

Sila sahkan penyertaan anda dengan menghubungi (03) 7957-7672, atau dengan menghantar email kepada Alamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya . sebelum hari Khamis, 8 Mei 2008.

10 pesakit SLE yang pertama tiba pada 10 Mei akan menerima sekaki payung Nikon, sumbangan Nikon Malaysia.

Acara Hari Lupus Sedunia Malaysia 2008 akan diadakan di Sudut Komuniti Pusat Membeli-belah 1 Utama Tingkat 1, Kawasan Oval.

Rangkaian web: Program lengkap di sini

 
Pemenang Pertandingan ”Apa-apa Sahaja Asalkan Rama-Rama”

Hadiah Pertama: Hemin Xylan B. Mahzan

Komen pengadil:

” … dipilih kerana kejelasan subjeknya serta latar belakangnya yang bersih dan terang. Warna yang digunakan juga menarik: langit yang biru, bunga yang merah serta kontra dan definasi pada rama-rama biru itu.”

Hadiah Kedua: Low Wuu Shin

Komen pengadil:

” … kami sukakan komposisi dan penggunaan pokok sebagai garis untuk menarik perhatian penonton kepada rama-rama. Warna yang digunakan juga menyegarkan dan kami gemarkan bahagian yang terang pada pokok akibat cahaya matahari.”

Hadiah Ketiga: Goh Lai Chong

Komen pengadil:

” … dari segi teknikal ia satu hasil kerja yang hebat (tetapi) ia tewas kepada gambar yang pertama dan kedua kerana kekurangan kesegaran yang terdapat dalam gambar-gambar tersebut.”

Tahniah kepada pemenang-pemenang!

Ucapan terima kasih kepada James Wu dan pasukannya di Shutter Asia kerana menganjurkan pertandingan ini dan mendermakan yuran penyertaan kepada dana PSLEM.

 
PSLEM salah satu daripada 10 NGO teratas di Malaysia

Persatuan SLE Malaysia (PSLEM) telah diiktirafkan sebagai salah satu daripada 10 NGO teratas di Malaysia dalam majlis Anugerah NGO Malaysia 2008 yang diadakan di Petaling Jaya pada 19 Mei 2008.

Yayasan PT telah dinamakan NGO Malaysia teratas, diikuti oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan di tempat kedua, sementara Rumah Cheshire Selangor dan Befrienders seri di tempat ketiga.

Pilihan itu adalah berdasarkan aspek kawalan, kejujuran, pengurusan sumber, dan amalan pengumpulan dana. Kesah 10 NGO yang dipilih akan dimuatkan dalam sebuah buku khas sebagai panduan tentang praktik-praktik yang sempurna serta ketelusan dalam penggunaan dana.

Memandangkan betapa kecil dan mudanya usia PSLEM, Jawatankuasa Eksekutif amat bersyukur kerana telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 NGO teratas dan telah berikrar untuk meneruskan usaha murni mereka.

 
Tabung SLE bagi membantu pesakit yang memerlukan pembedahan

Rawatan bagi pesakit SLE bergantung kepada simptom yang dialaminya dan betapa teruknya simptom-simptom itu. Dalam merawat SLE, doktor mesti mencegah radang, merawat radang, serta meminimakan kerosakan dan komplikasi organ.

Rawatan utama bagi SLE, melibatkan penggunaan kortikosteroid dan kortikosteroid yang biasa digunakan ialah predinosolone. Kesan sampingan jangka panjang penggunaan kortikosteroid termasuklah lemah tulang (osteoporosis), tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, kandungan gula dalam darah yang tinggi (diabetes), kerosakan kepada arteri, jangkitan, serta katarak.

Oleh yang demikian, Persatuan SLE Malaysia (PSLEM) telah memulakan Tabung SLE bagi membantu pesakit yang kurang mampu, yang terpaksa melalui pembedahan penggantian sendi atau katarak akibat kesan sampingan penggunaan kortikosteroid. Tabung SLE akan memberi subsidi bagi tujuan pembelian anggota tiruan atau lensa implan.

Tabung SLE

 
PSLEM telah bersiaran dalam rancangan popular TV

Usaha Persatuan SLE Malaysia (PSLEM) dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keadaan pesakit SLE telah menerima suntikan yang amat diperlukan. “Wanita Hari Ini”, sebuah rancangan mengenai wanita masa kini, yang popular di TV3, telah memberikan kami waktu siaran yang amat berharga dengan mengadakan satu perbincangan mengenai keadaan pesakit SLE, secara langsung di dalam programnya pada 10 Jun 2008.

Dr. Asmahan Mohamed Ismail, seorang pakar rheumatologi di Hospital Selayang, dan Cik Sarah Kambali, seorang pesakit SLE serta ahli PSLEM, telah muncul dalam segmen ini.

Walaupun rancangan ini merupakan siaran langsung, Dr. Asmahan dan Sarah sangat tenang dan petah membincangkan keadaan yang mereka lalui – Dr. Asmahan daripada sudutnya sebagai seorang doktor dan Sarah daripada sudut peribadinya sebagai seorang pesakit SLE.

Dr. Asmahan telah memberikan gambaran keseluruhan penyakit SLE, termasuk sebab, simptom dan rawatannya. Dalam menjawab pertanyaan samada seorang pesakit wanita SLE boleh melahirkan anak – suatu isu yang amat rapat dengan semua wanita – beliau berkata pesakit mestilah berbincang dengan doktor mereka terlebih dahulu. Keadaan pesakit mestilah stabil sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun sebelum cuba untuk mengandung, dan jika ubat predinisolone, hydroxchloroquine atau azathioprine diambil oleh pesakit tersebut, dos ubat-ubatan itu mesti sudah dikurangkan semasa mengandung.

Dari sudut pesakit pula, Sarah telah menceritakan apa yang beliau alami sebelum disahkan menghidap SLE, pencarian beliau mengenai SLE melalui Internet dan berkongsi maklumat yang diperolehi bersama doktor beliau, serta keuntungan menjadi seorang ahli PSLEM.

Dr. Asmahan juga telah menjawab soalan-soalan daripada orang ramai yang telah menelefon semasa rancangan itu membuka talian kepada orang ramai.

Nombor telefon PSLEM serta laman web telah tertera di skrin televisyen pada penghujung perbincangan tersebut. Ini telah menyebabkan pejabat PSLEM dihujani panggilan telefon yang mengutarakan soalan-soalan mengenai SLE, setelah rancangan itu tamat dan juga sepanjang hari berkenaan.

Laman web PSLEM yang baru diperbaharui juga menunjukkan peningkatan pelawat dari pukul 12:30 tengahari dan seterusnya apabila URL laman web kami telah tertera di skrin televisyen.

Ucapan terima kasih kepada Dr. Asmahan dan Sarah yang telah muncul bagi pihak PSLEM dalam rancangan tersebut, dan juga kepada “Wanita Hari Ini” yang telah memberikan kami peluang yang amat berharga untuk berbincang mengenai keadaan SLE.

 
«MulaSblm212223242526SeterusnyaTamat»