Rawatan bagi pesakit SLE bergantung kepada simptom yang dialaminya dan betapa teruknya simptom-simptom itu. Dalam merawat SLE, doktor mesti mencegah radang, merawat radang, serta meminimakan kerosakan dan komplikasi organ.
Rawatan utama bagi SLE, melibatkan penggunaan kortikosteroid dan kortikosteroid yang biasa digunakan ialah predinosolone. Kesan sampingan jangka panjang penggunaan kortikosteroid termasuklah lemah tulang (osteoporosis), tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, kandungan gula dalam darah yang tinggi (diabetes), kerosakan kepada arteri, jangkitan, serta katarak.
Oleh yang demikian, Persatuan SLE Malaysia (PSLEM) telah memulakan Tabung SLE bagi membantu pesakit yang kurang mampu, yang terpaksa melalui pembedahan penggantian sendi atau katarak akibat kesan sampingan penggunaan kortikosteroid. Tabung SLE akan memberi subsidi bagi tujuan pembelian anggota tiruan atau lensa implan.
Apakah yang akan diliputi oleh Tabung SLE?
- Subsidi ini akan meliputi 90% daripada harga implan. Pembedahan mestilah dilakukan di hospital bantuan penuh kerajaan.
- Tabung SLE tidak akan meliputi kos lain berkenaan pembedahan, ubat-ubatan atau penginapan.
- Bayaran akan dibuat terus kepada pembekal implan. Tidak ada sebarang wang yang akan dipindahkan kepada pesakit.
Siapakah yang layak menerima bantuan?
- Pesakit penerima mestilah seorang warganegara Malaysia atau seorang penduduk tetap.
- Pendapatan bulanan penerima tidak melebihi RM2,000.
Bagaimana untuk memohon bantuan?
- Sila muat turun borang permohonan di sini.
Siapakah yang mesti mengesahkan permohonan saya?
- Anda memerlukan dua orang doktor pakar yang merawat anda untuk mengesahkan bahawa anda memerlukan pembedahan penggantian sendi atau katarak.
- Jika anda memerlukan penggantian sendi, sila minta doktor yang merawat anda (doktor berkenaan mestilah seorang pakar rheumatologi atau pakar nefrologi) serta doktor ortopedik yang akan melakukan pembedahan tersebut, mengisi Bahagian (B) borang tersebut.
- Jika anda memerlukan pembedahan katarak, sila minta doktor yang merawat anda (doktor
berkenaan mestilah seorang pakar reumatologi atau pakar nefrologi) serta pakar optalmologi yang akan melakukan pembedahan tersebut, mengisi Bahagian (B) borang tersebut. - Anda perlu mengisi butir-butir sosial dan keluarga anda, yang mesti disahkan oleh seorang pekerja sosial daripada hospital bantuan penuh kerajaan di mana anda dirawat.
Selain daripada borang permohonan, apakah dokumen lain yang perlu saya serahkan?
- Sekeping salinan fotostat kad pengenalan anda.
- Butir-butir gaji terakhir anda.
- Sebutharga rasmi daripada pembekal anggota tiruan atau lensa implan
Siapakah yang akan meluluskan permohonan saya?
- Jawatankuasa Eksekutif PSLEM akan menimbangkan permohonan anda. Kelulusan akan berdasarkan kelayakan, keperluan, serta dana yang ada.
Berapa lama untuk kelulusan?
- Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif biasanya diadakan sekali sebulan. Jika semua dokumen lengkap, permohonan anda akan ditimbang pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang akan datang. Anda akan diberitahu keputusan permohonan anda pada hari bekerja keesokannya selepas mesyuarat tersebut.
Dari manakah Tabung SLE mendapat wang?
- Tabung SLE bergantung kepada derma daripada orang ramai dan wang yang dikumpulkan oleh PSLEM. PSLEM merayu kepada semua orang dan kepada badan korporat untuk menderma terhadap Tabung SLE.
- Jika anda ingin menderma, sila alamatkan cek anda atas nama “Persatuan SLE Malaysia” dan hantar kepada:
Persatuan SLE Malaysia
Tingkat 3, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
16, Jalan Utara
46200 Petaling Jaya, Selangor
Tel: (03) 7957-7672
Faks: (03) 7957-0407 E-mel: pslem@streamyx.com
Laman web: www.lupusmalaysia.org